Pages

Monday 22 June 2009

MENGENAL KHUTBAH AL-HAAJAH

bismillahirrahmanirrahim....
assalamualaikum w.b.t
selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w
sekian lama ingin mengenali khutbah al-haajah dengan lebih mendalam
Alhamdulillah, kali ni dapat diselami dan dikongsi bersama sahabat2 semua
InsyaAllah, sama2 manfaatkan...
entri kali ni diambil dari al-abrar group, posting by mr. syahnazrin (thanks ya syeikh)
إنّ الحمدَ لله نحمدُه ونستعينُه ونستغفرُه ونعوذُ بالله مِن شرورِ أنفسِنا ومِن سيّئات أعمالِنا
مَن يهدهِ الله فلا مضلَّ لهُ ومَن يُضلِل فلا هادِيَ لَه
وأشهَدُ أن لا إله إلا الله وحدَهُ لا شريكَ له وأشهدُ أنّ محمدًا عبدُه ورسولُه
يَا أيّها الذين آمنوا اتقوا الله حقَّ تُقَاتِه ولا تموتُنَّ إلا وأنتم مسلمون[1] <#_ftn1>
يا أيّها الناسُ اتقوا ربّكم الذي خلقَكم مِن نفسٍ واحدة وخلق منها زوجَها وبثَّ منهما رجالاً كثيرًا ونساءً واتقوا اللهَ الذي تساءلون به والأرحام إنّ اللهَ كان عليكم رقيباً[2] <#_ftn2>
يا أيّها الذين آمنوا اتقوا اللهَ وقولوا قولاً سديدًا يُصلِح لكم أعمالَكم ويَغفِر لكم ذنوبَكم
ومَن يُطِع اللهَ ورسولَه فقد فازَ فوزًا عظيمًا [3] <#_ftn3>
أما بعد،
فإنّ أصدقَ الحديثِ كتابُ اللّه وأحسنَ الهديِ هديُ محمدٍ صلى الله عليه وسلم
وشرَّ الأمورِ محدثاتُها وكلَّ محدثةٍ بدعةٌ وكلَّ بدعةٍ ضلالةٌ وكلَّ ضلالةٍ في النار[4] <#_ftn4>
------------------------------
[1] Surah Aali ‘Imran : 102
[2] Surah An-Nisa’ : 1
[3] Surah Al-Ahzab : 70-71
[4] Hadis Riwayat Al-Bukhari (22/6735), Muslim (4/1436), An-Nasa’ie (6/1560), Ibnu Majah (1/45), Ahmad (30/14455) dan lain-lain.

---------------------------------------------------------------------------­----------------------

Pernahkah saudara dengar istilah yang dinamakan sebagai “*Khutbah Al-Haajah*”? Secara ringkasnya, *Khutbah Al-Haajah* adalah satu bentuk gabungan ucapan yang menjadi pendahuluan dalam ucapan Nabi Muhammad *Sallallahu ’Alayhi Wasallam*. Di Malaysia, Khutbah ini sering dibaca oleh para Imam Solat Jumaat. Namun, sebenarnya ucapan ini juga antara sunnah Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *yang digalakkan kepada kita agar menghafal serta mengamalkannya. Oleh kerana itu, kebanyakan ulama’ yang hidup pada tiga kurun terbaik, yang lebih dikenali dengan nama, *As-Salaf As-Soleh*, sentiasa mengamalkan khutbah ini sama ada dalam ucapan mahupun tulisan mereka.
Seorang tokoh hadith masa kini, Syeikh Nasir Ad-Din Al-Albani (1420H) semasa hayatnya, sempat mengarang sebuah kitab yang bertajuk, “*Khutbah al-Haajah allati Kaana Rasulullah Sallahu ’Alayhi Wasallam Yu’allimuha Ashabahu*” yang telah diterbitkan oleh *al-Maktab al-Islami* pada tahun 1400H. Dalam buku tersebut, beliau mengupas tentang *Khutbah al-Haajah* menurut beberapa riwayat hadith dengan kupasan yang menarik. Jadi, kita sebagai ummat Rasulullah *Sallahu ’Alayhi Wasallam, *perlulah mempunyai sikap teruja untuk mengamalkan sunnahnya walaupun dalam perkara yang dipandang kecil oleh sesetengah pihak.
Jika diteliti makna ucapan-ucapan dalam *Khutbah al-Haajah *dengan rasa kecintaan pada Rasul-Nya *Sallahu ’Alayhi Wasallam, *kita akan dapati bahawa ianya juga merupakan satu gabungan doa-doa yang ringkas dan padat. Antara ciri-ciri doa Rasulullah *Sallahu ’Alayhi Wasallam* ialah bersifat ringkas,padat dan menyeluruh maknanya.
Daripada A’isyah *Radhiyallahu ’Anha*, bahawasanya Rasulallah *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *suka kepada doa yang *al-Jawaami’* (Hadith Riwayat Abu Daud,Ahmad,At-Tirmizi,al-Hakim dalam al-Mustadrak,beliau mengatakan sanadnya Sahih dan diakui oleh az-Zahabi)
Al-Imam Al-Munawi (1031H),dalam *Faydh al-Qadir*(5/7039),dalam menjelaskan maksud *al-Jawaami’* menulis, “sesuatu (doa) yang mengandungi maksud yang menyeluruh serta merangkumi kebaikan di dunia dan di akhirat,serta tujuan-tujuan yang baik dan benar, puji-pujian kepada Allah dan kelebihan dan ganjaran pada masa akan datang.” Al-Imam As-Suyuti turut menukilkan sedemikian dalam *ash-Shama’il ash-Shariifah*(1/570).
Antara yang terkandung dalam *Khutbah al-Haajah* ialah satu kata-kata yang menekankan konsep Aqidah Islamiyyah yang jelas. Disebutkan, “Barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tiada siapa yang boleh menyesatkannya, Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang boleh memberikan hidayah kepadanya. Aku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, Dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya”
Justeru,seseorang yang mengaku bahawa dirinya adalah seorang Muslim perlu meyakini bahawa aqidah merupakan satu elemen yang paling penting dalam menentukan sahnya sesuatu amalan. Oleh kerana itu, kebanyakan ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah, lebih menekankan asas-asas aqidah disamping akhlak mulia yang Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *tonjolkan. Dua unsur utama yang terkandung dalam syahadah ialah menafikan wujudnya tuhan yang layak disembah melainkan Allah *‘Azza wa Jalla *,dan kemudian beriman bahawa sesungguhnya Muhammad *Sallallahu ’Alayhi Wasallam* itu hamba dan utusan-Nya. Maka,tidak sah iman serta Islam seseorang jika menolak salah satu daripada dua unsur tersebut.
Pada perenggan terakhir *Khutbah al-Haajah *tersebut, Nabi Muhammad *Sallahu ’Alayhi Wasallam *bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya sebenar-benar bicara adalah Kitab Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Sallahu ‘Alayhi Wasallam, dan seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara baru yang direka-reka, dan setiap perkara-perkara baru yang direka-reka adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu di dalam neraka”
Sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Allah *Jalla wa ‘Ala* telah memberi satu gelaran kepada utusan-Nya, iaitu gelaran *Jawaami’ul Kalim.* Ia bermaksud Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *sebagai utusan Allah untuk sekelian umat, telah ditugaskan oleh Allah untuk menyampaikan segala ajarannya, tanpa tertinggal walau satu ayat. Maka,Allah telah memperakui akan kesempurnaan ajaran Islam yang telah Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *sampaikan kepada umatnya, pada Surah al-Ma’idah, ayat ketiga, yang bermaksud, “Hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu.”
Oleh kerana keimanan yang kukuh terhadap kesempurnaan ajaran Nabi, para sahabat, tabi’en dan juga atba’ tabi’en tidak berani untuk melakukan sebarang bentuk perkara baru yang tidak mempunyai asalnya pada zaman Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam. *Perkara ini telah Nabi *Sallallahu ’Alayhi Wasallam *sebutkan dengan menggunakan istilah bid’ah, yang kadang-kadang digeruni oleh sesetengah pihak. Ramai ulama’ yang menghuraikan tentang permasalah bid’ah ini dan huraian ini kerap kali disalahgunakan untuk mewajarkan sesuatu perbuatan yang tidak ada asalnya dalam agama. Apa yang paling penting ialah kita perlu memahami apakah erti bid’ah itu sendiri.

Menyentuh soal sunnah dan bid’ah, saya mencadangkan kepada teman-teman untuk membaca sebuah buku karangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk,* as-Sunnah wal-Bid’ah*. Dalam buku tersebut, al-Qaradhawi menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah itu sendiri, sama ada daripada segi bahasanya mahupun istilah. Al-Qaradhawi juga sempat memberi satu bentuk teguran kepada umat Islam dalam isu ini. Beliau mengatakan, orang barat maju kerana mereka melakukan banyak bid’ah di dalam hal-hal keduniaan seperti teknologi dan sebagainya, namun, apa yang berlaku pada umat Islam adalah sebaliknya. Umat Islam berlumba-lumba untuk melakukan bid’ah dalam perkara agama dan itulah sebabnya mengapa mereka menjadi mundur.

Di dalam Fataawa al-Kubra, Abu al-’Abbas *Rahimahullah *telah menukilkan tentang kisah seorang lelaki yang telah berjumpa dengan al-Imam Dar al-Hijrah, al-Imam Malik *Radhiyallahu ’Anhu, *untuk bertanya soal berniat ihram pada miqat yang lebih jauh (ada pendapat mengatakan ianya berhampiran dengan kubur Nabi *Sallahu ’Alayhi Wasallam*). Maka, al-Imam Malik menjawab, ”Aku khawatir akan berlaku kepada kamu fitnah(musibah).” Kemudian lelaki itu pun berkata,”Fitnah yang mana satu kah, dalam perkara tersebut? Sesungguhnya aku hanya menambah jarak (bermiqat) dalam (mendapatkan) keta’atan Allah *’Azza wa Jalla*. Kemudian, al-Imam Malik telah memberikan sesuatu jawapan yang cukup tegas dan bertanggung jawab terhadap urusan agama,”Fitnah(musibah) apakah yang lebih besar daripada engkau menyangka pada dirimu ada sesuatu kelebihan yang dikhususkan kepadamu, yang tidak ada pada Rasul *Sallallahu ’Alayhi Wasallam!”*
Justeru itu,wahai teman-teman, tunduk dan patuhlah kita terhadap ketetapan yang ada dalam agama dan seterusnya menjaga ketulenan Islam sebagaimana ianya diturunkan pada zaman Rasulullah *Sallahu ’Alayhi Wasallam*. Yakinilah,Islam itu indah dan sempurna,ianya tidak perlu kepada sebarang bentuk tambahan mengikut citarasa yang tidak berlandaskan wahyu. Ayuh lakukan perubahan!
Wallahuta'ala a'lam
~oMbaaaak!!!!~
22nd june 2009
1.16 pm

No comments: